Sunday, 11 December 2011

A136086 - Bab 1 : Halangan-halangan dalam Komunikasi



Video ini diambil daripada: http://www.youtube.com/watch?v=8Ox5LhIJSBE

Melalui video ini, dapat dilihat bahawa komunikasi yang berkesan tidak tercapai disebabkan halangan-halangan yang wujud.

Video ini mengisahkan tentang dua orang wanita, seorang yang pekak manakala seorang lagi memakai pelindung muka untuk menutup auratnya. Wanita yang memakai pelindung muka ingin menuju ke Happy Valley dan ingin bertanyakan wanita yang pekak itu mengenai hala tuju dan bagaimana untuk pergi ke destinasinya itu. Apabila wanita itu bertanyakan jalan kepada wanita pekak tersebut, tiada tindak balas diterima olehnya, lalu dia naik marah kerana tidak tahu bahawa dia sebenarnya pekak dan menganggap wanita itu sebagai kurang ajar atau tidak hormat kepadanya. Apabila dia mendapat tahu bahawa wanita itu sebenarnya pekak, barulah dia memahami dan sambung bertanyakan jalan dengan menggunakan alat terjemahan istimewa wanita pekak itu. Akan tetapi, halangan demi halangan wujud dalam menyampaikan dan menerima mesej antara dua pihak itu. Akhirnya, mereka mendapati mereka berdua sebenarnya ingin menuju ke destinasi yang sama tetapi malangnya, kereta api tersebut telah bertolak dan lebih malang lagi apabila wanita yang memakai pelindung muka itu terdengar pengumuman bahawa kereta api seterusnya telah tertangguh sejam lagi. Hal ini menyebabkan ketidakselesaan dan kesusahan kepada kedua-dua belah pihak, lebih-lebih lagi, kepada wanita yang memakai pelindung muka itu kerana tidak berani dan tidak tahu bagaimana hendak memberitahu wanita yang pekak itu tentang pengumuman penangguhan tersebut.

Secara keseluruhannya, antara halangan-halangan dalam komunikasi daripada video tersebut ialah halangan sikap penghantar, halangan persekitaran, dan halangan bahasa. Halangan sikap penghantar dapat dilihat ketika wanita yang ingin bertanyakan jalan itu menunjukkan reaksi yang tidak baik dan marah ketika wanita yang pekak itu tidak menjawab soalannya. Penghantar yang bersifat negatif akan menghalang kelancaran proses komunikasi dan memberi kesan kepada penerima mesej. Seterusnya, halangan persekitaran dapat dilihat ketika wanita yang memakai pelindung muka tersebut ingin merekodkan percakapannya dalam alat terjemahan istimewa wanita yang pekak itu untuk bertanyakan jalan. Pelbagai gangguan bunyi wujud pada ketika itu seperti bunyi bising apabila kereta api lalu dan juga pengumuman yang mengganggu proses komunikasi. Hal ini menyebabkan mesej atau soalan yang ingin ditanya tidak sampai kepada penerima. Halangan bahasa juga jelas dilihat dalam video tersebut. Kedua-dua pihak perlu menggunakan alat komunikasi tambahan dalam berkomunikasi disebabkan keadaan masing-masing, iaitu seorang pekak manakala seorang lagi tidak mahu membuka pelindung mukanya. Wanita yang ingin bertanyakan jalan menggunakan bahasa biasa manakala wanita pekak tersebut perlu menggunakan bahasa isyarat tangan atau alat terjemahan istimewanya. Wanita yang pekak tersebut hanya dapat memahami penyampai mesej dengan melihat pada percakapan dan pergerakan mulut penyampai. Ketidaksudian wanita yang memakai pelindung muka tersebut untuk membukanya menyebabkan proses komunikasi menjadi lebih sukar dan satu-satunya alternatif lain adalah dengan menggunakan alat terjemahan istimewa wanita pekak tersebut.

Sumber: http://www.youtube.com/watch?v=8Ox5LhIJSBE


                                                                         Oleh: Shirley Choong A136086

1 comment:

Gemilang said...

Untuk menjadikan sesuatu komunikasi lebih berkesan, halangan-halangan harus diatasi terlebih dahulu. Dalam video ini,pelbagai halangan yang menjadikan perbualan antara dua wanita ini tidak berkesa, seperti yang diterangkan oleh Shirley, iaitu, sikap penghantar yang negatif, halangan persekitaran, dan halangan bahasa.Seandainya wanita-wanita tersebut sanggup bertolak ansur dan bersikap sabar dalam mengatasi halangan ini , nescaya komunikasi dapat berjalan dengan lebih lancar. Oleh itu, sebelum berkomunikasi, seseorang harus memahami latar belakang pihak yang lain, seperti bahasa yang digunakan olehnya dan adakah pihak tersebut mempunyai masalah pendengaran. Lepas ini, seseorang itu boleh mencari langkah untuk mengatasinya. Maka, komunikasi dapat berjalan dengan efektif.
Oleh: A136309 Low Hui Wern